Advertising Space For Rent

Thursday, June 10, 2010

Kisah Cinta Adam dan Hawa


Syurga yang serba nikmat

...egala kesenangan ada di dalamnya. Semua tersedia apa saja yang diinginkan, tanpa bersusah payah memperolehinya. Sungguh suatu tempat yang amat indah dan permai, menjadi idaman setiap insan. Demikianlah menurut riwayat, tatkala Allah SWT. selesai mencipta alam semesta dan makhluk-makhluk lainnya, maka dicipta-Nya pula Adam ‘alaihissalam sebagai manusia pertama. Hamba yang dimuliakan itu ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga (Jannah).

Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara, tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di seberang, maka tiadalah sesuatu yang dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang berterbangan ke sana ke mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi, bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan.

Adam a.s terpikat melihatnya, rindu berkeadaan demikian. Tetapi sungguh malang, siapalah gerangan kawan yang hendak diajak. Ia merasa kesepian, lama sudah. Ia tinggal di syurga bagai orang kebingungan, tiada pasangan yang akan dibujuk bermesra sebagaimana burung-burung yang dilihatnya.

Tiada pekerjaan sehari-hari kecuali bermalas-malas begitu saja, bersantai berangin-angin di dalam taman syurga yang indah permai, yang ditumbuhi oleh bermacam bunga-bunga kuntum semerbak yang wangi, yang di bawahnya mengalir anak-anak sungai bercabang-cabang, yang desiran airnya bagai mengandung pembangkit rindu.


Adam kesepian

Apa saja di dalam syurga semuanya nikmat! Tetapi apalah erti segalanya kalau hati selalu gelisah resah di dalam kesepian seorang diri?

Itulah satu-satunya kekurangan yang dirasakan Adam a.s di dalam syurga. Ia perlu kepada sesuatu, iaitu kepada kawan sejenis yang akan mendampinginya di dalam kesenangan yang tak terhingga itu. Kadangkala kalau rindu dendamnya datang, turunlah ia ke bawah pohon-pohon rendang mencari hiburan, mendengarkan burung-burung bernyanyi bersahut-sahutan, tetapi aduh hai kasihan...bukannya hati menjadi tenteram, malah menjadi lebih tertikam. Kalau angin bertiup sepoi-sepoi basah di mana daun-daunan bergerak lemah gemalai dan mendesirkan suara sayup-sayup, maka terkesanlah di hatinya keharuan yang begitu mendalam; dirasakannya sebagai derita batin yang tegak di sebalik nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.

Tetapi walaupun demikian, agaknya Adam a.s malu mengadukan halnya kepada Allah SWT. Namun, walaupun Adam a.s malu untuk mengadu, Allah Ta'ala sendiri Maha Tahu serta Maha Melihat apa yang tersembunyi di kalbu hamba-Nya. Oleh itu Allah Ta'ala ingin mengusir rasa kesepian Adam.

Hawa diciptakan

Tatkala Adam a.s sudah berada di puncak kerinduan dan keinginan untuk mendapatkan kawan, sedang ia lagi duduk terpekur di atas tempat duduk yang berlapiskan tilam permaidani serba mewah, maka tiba-tiba ngantukpun datanglah menawannya serta langsung membawanya hanyut ke alam tidur.

Adam a.s tertidur nyenyak, tak sedar kepada sesuatu yang ada di sekitarnya. Dalam saat-saat yang demikian itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri. Bagai orang yang sedang terbius, Adam a.s tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril a.s.

Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang mendambakan seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau.

Pertemuan Adam dan Hawa

Hawa duduk bersandar pada bantal lembut di atas tempat duduk megah yang bertatahkan emas dan permata-permata bermutu manikam, sambil terpesona memperhatikan kecerahan wajah dari seorang lelaki kacak yang sedang terbaring, tak jauh di depannya.

Butir-butir fikiran yang menggelombang di dalam sanubari Hawa seolah-olah merupakan arus-arus tenaga elektrik yang datang mengetuk kalbu Adam a.s, yang langsung menerimanya sebagai mimpi yang berkesan di dalam gambaran jiwanya seketika itu.

Adam terjaga....! Alangkah terkejutnya ia ketika dilihatnya ada makhluk manusia seperti dirinya hanya beberapa langkah di hadapannya. Ia seolah tak percaya pada penglihatannya. Ia masih terbaring mengusap matanya beberapa kali untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya.

Hawa yang diciptakan lengkap dengan perasaan malu, segera memutar badannya sekadar untuk menyembunyikan bukit-bukit di dadanya, seraya mengirimkan senyum manis bercampur manja, diiringi pandangan melirik dari sudut mata yang memberikan sinar harapan bagi hati yang melihatnya.

Memang dijadikan Hawa dengan bentuk dan paras rupa yang sempurna. Ia dihiasi dengan kecantikan, kemanisan, keindahan, kejelitaan, kehalusan, kelemah-lembutan, kasih-sayang, kesucian, keibuan dan segala sifat-sifat keperibadian yang terpuji di samping bentuk tubuhnya yang mempesona serta memikat hati setiap yang memandangnya.

Ia adalah wanita tercantik yang menghiasai syurga, yang kecantikannya itu akan diwariskan turun temurun di hari kemudian, dan daripadanyalah maka ada kecantikan yang diwariskan kepada wanita-wanita yang datang dibelakangnya.

Adam a.s pun tak kurang gagah dan kacaknya. Tidak dijumpai cacat pada dirinya kerana ia adalah satu-satunya makhluk insan yang dicipta oleh Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan.

Semua kecantikan yang diperuntukkan bagi lelaki terhimpun padanya. Kecantikan itu pulalah yang diwariskan turun temurun kepada orang-orang di belakangnya sebagai anugerah Allah SWT kepada makhluk-Nya yang bergelar manusia. Bahkan diriwayatkan bahawa kelak semua penduduk syurga akan dibangkitkan dengan pantulan dari cahaya rupa Adam a.s.

Adam a.s bangkit dari pembaringannya, memperbaiki duduknya. Ia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Ia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Ia yakin ia tidak salah pandang. Ia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Ia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Ia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Zat Maha Pencipta.

Ia tertawa kepada gadis jelita itu, yang menyambutnya tersipu-sipu seraya menundukkan kepalanya dengan pandangan tak langsung, pandangan yang menyingkap apa yang terselit di kalbunya.

Adam terpikat

Adam terpikat pada rupa Hawa yang jelita, yang bagaikan kejelitaan segala puteri-puteri yang bermastautin di atas langit atau bidadari-bidadari di dalam syurga.

Tuhan menanam asmara murni dan hasrat berahi di hati Adam a.s serta menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta, yang tiada taranya dalam sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di dalam syurga. Adam a.s ditakdirkan jatuh cinta kepada puteri yang paling cantik dari segala yang cantik, yang paling jelita dari segala yang jelita, dan yang paling harum dari segala yang harum.

Adam a.s dibisikkan oleh hatinya agar merayu Hawa. Ia berseru: “Aduh, hai si jelita, siapakah gerangan kekasih ini? Dari manakah datangmu, dan untuk siapakah engkau disini?” Suaranya sopan, lembut, dan penuh kasih sayang.
“Aku Hawa,” sambutnya ramah. “Aku dari Pencipta!” suaranya tertegun seketika. “Aku....aku....aku, dijadikan untukmu!” tekanan suaranya menyakinkan.

Tiada suara yang seindah dan semerdu itu walaupun berbagai suara merdu dan indah terdengar setiap saat di dalam syurga. Tetapi suara Hawa....tidak pernah di dengarnya suara sebegitu indah yang keluar dari bibir mungil si wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu, gerakan tubuhnya menimbulkan semangat.

Kata-kata yang paling segar didengar Adam a.s ialah tatkala Hawa mengucapkan terputus-putus: “Aku....aku....aku, dijadikan untukmu!” Kata-kata itu nikmat, menambah kemesraan Adam kepada Hawa.

Adam a.s sedar bahawa nikmat itu datang dari Tuhan dan cintapun datang dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan berertilah pula cinta kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin mendalam. Cinta kepada Hawa bererti cinta kepada Pencipta. Dengan keyakinan demikian Adam a.s menjemput Hawa dengan berkata: “Kekasihku, ke marilah engkau!” Suaranya halus, penuh kemesraan.

“Aku malu!” balas Hawa seolah-olah menolak. Tangannya, kepalanya, memberi isyarat menolak seraya memandang Adam dengan penuh ketakjuban.

“Kalau engkau yang inginkan aku, engkaulah yang ke sini!” Suaranya yang bagaikan irama seolah-olah memberi harapan.

Adam tidak ragu-ragu. Ia mengayuh langkah gagah mendatangi Hawa. Maka sejak itulah teradat sudah bahawa wanita itu didatangi, bukan mendatangi.

Hawa bangkit dari tempat duduknya, menggeser surut beberapa langkah. Ia sedar bahawa walaupun dirinya diperuntukkan bagi Adam a.s, namunlah haruslah mempunyai syarat-syarat tertentu. Di dalam sanubarinya, ia tak dapat menyangkal bahawa iapun terpesona dan tertarik kepada rupa Adam a.s yang sungguh indah.

Adam a.s tidak putus asa. Ia tahu itu bukan dosa. Ia tahu membaca isi hati. Ia tahu bukannya Hawa menolak, tetapi menghindarnya itu memanglah suatu perbuatan wajar dari sikap malu seorang gadis yang berbudi. Ia tahu bahawa di balik “malu” terselit “rasa mahu”. Kerananya ia yakin pada dirinya bahawa Hawa diperuntukkan baginya. Naluri insaninya bergelora.

Tatkala sudah dekat ia pada Hawa serta hendak mengulurkan tangan sucinya kepadanya, maka tiba-tiba terdengarlah panggilan ghaib berseru:
“Hai Adam....tahanlah dirimu. Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!”.

Adam a.s tertegun, balik ke tempatnya dengan taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram.
Kedua-dua manusia syurga itu sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.

Perkahwinan Adam dan Hawa

Allah SWT. Yang Maha Pengasih untuk menyempurnakan nikmatnya lahir dan batin kepada kedua hamba-Nya yang saling memerlukan itu, segera memerintahkan gadis-gadis bidadari penghuni syurga untuk menghiasi dan menghibur mempelai perempuan itu serta membawakan kepadanya hantaran-hantaran berupa perhiasan-perhiasan syurga. Sementara itu diperintahkan pula kepada malaikat langit untuk berkumpul bersama-sama di bawah pohon “Syajarah Thuba”, menjadi saksi atas pernikahan Adam dan Hawa.

Diriwayatkan bahawa pada akad pernikahan itu Allah SWT. berfirman: “Segala puji adalah kepunyaan-Ku, segala kebesaran adalah pakaian-Ku, segala kemegahan adalah hiasan-Ku dan segala makhluk adalah hamba-Ku dan di bawah kekuasaan-Ku. Menjadi saksilah kamu hai para malaikat dan para penghuni langit dan syurga bahawa Aku menikahkan Hawa dengan Adam, kedua ciptaan-Ku dengan mahar, dan hendaklah keduanya bertahlil dan bertahmid kepada-Ku!”.

Malaikat dan para bidadari berdatangan

Setelah akad nikah selesai berdatanganlah para malaikat dan para bidadari menyebarkan mutiara-mutiara yaqut dan intan-intan permata kemilau kepada kedua pengantin agung tersebut. Selesai upacara akad, dihantarlah Adam a.s mendapatkan isterinya di istana megah yang akan mereka diami.

Hawa menuntut haknya. Hak yang disyariatkan Tuhan sejak semula.
“Mana mahar?” tanyanya. Ia menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan dahulu.

Adam a.s bingung seketika. Lalu sedar bahawa untuk menerima haruslah sedia memberi. Ia insaf bahawa yang demikian itu haruslah menjadi kaedah pertama dalam pergaulan hidup.

Sekarang ia sudah mempunyai kawan. Antara sesama kawan harus ada saling memberi dan saling menerima. Pemberian pertama pada pernikahan untuk menerima kehalalan ialah mahar. Oleh kerananya Adam a.s menyedari bahawa tuntutan Hawa untuk menerima mahar adalah benar.

Mahar perkahwinan Adam

Pergaulan hidup adalah persahabatan! Dan pergaulan antara lelaki dengan wanita akan berubah menjadi perkahwinan apabila disertai dengan mahar. Dan kini apakah bentuk mahar yang harus diberikan?
Itulah yang sedang difikirkan Adam.

Untuk keluar dari keraguan, Adam a.s berseru: “Ilahi, Rabbi! Apakah gerangan yang akan kuberikan kepadanya? Emaskah, intankah, perak atau permata?”.

“Bukan!” kata Tuhan.

“Apakah hamba akan berpuasa atau solat atau bertasbih untuk-Mu sebagai maharnya?” tanya Adam a.s dengan penuh pengharapan.

“Bukan!” tegas suara Ghaib.

Adam diam, mententeramkan jiwanya. Kemudian bermohon dengan tekun: “Kalau begitu tunjukilah hamba-Mu jalan keluar!”.

Allah SWT. berfirman: “Mahar Hawa ialah selawat sepuluh kali atas Nabi-Ku, Nabi yang bakal Kubangkit yang membawa pernyataan dari sifat-sifat-Ku: Muhammad, cincin permata dari para anbiya’ dan penutup serta penghulu segala Rasul. Ucapkanlah sepuluh kali!”.
Adam a.s merasa lega. Ia mengucapkan sepuluh kali salawat ke atas Nabi Muhammad SAW. sebagai mahar kepada isterinya. Suatu mahar yang bernilai spiritual, kerana Nabi Muhammad SAW adalah rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam).

Hawa mendengarkannya dan menerimanya sebagai mahar.
“Hai Adam, kini Aku halalkan Hawa bagimu”, perintah Allah, “dan dapatlah ia sebagai isterimu!”.
Adam a.s bersyukur lalu memasuki isterinya dengan ucapan salam. Hawa menyambutnya dengan segala keterbukaan dan cinta kasih yang seimbang.

Allah SWT. berfirman kepada mereka: “Hai Adam, diamlah engkau bersama isterimu di dalam syurga dan makanlah (serta nikmatilah) apa saja yang kamu berdua ingini, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kerana (apabila mendekatinya) kamu berdua akan menjadi zalim”.

(Al-A’raaf: 19).
Dengan pernikahan ini Adam a.s tidak lagi merasa kesepian di dalam syurga. Inilah percintaan dan pernikahan yang pertama dalam sejarah ummat manusia, dan berlangsung di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Iaitu sebuah pernikahan agung yang dihadiri oleh para bidadari, jin dan disaksikan oleh para malaikat.

Peristiwa pernikahan Adam dan Hawa terjadi pada hari Jumaat. Entah berapa lama keduanya berdiam di syurga, hanya Allah SWT yang tahu. Lalu keduanya diperintahkan turun ke bumi. Turun ke bumi untuk menyebar luaskan keturunan yang akan mengabdi kepada Allah SWT dengan janji bahawa syurga itu tetap tersedia di hari kemudian bagi hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah SWT.: “Kami berfirman: Turunlah kamu dari syurga itu. Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

(Al-Baqarah: 38)




Petikan daripada Buku 1001 Impian-Rangkaian Kisah-Kisah Bidadari - Siri 1 karangan Nurun Nasuha M A

Friday, June 4, 2010

Syafaat Untuk Kita Semua


Seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Auf bin Malik bercerita, suatu hari Nabi s.a.w. bersabda kepada kami, “Tahukah engkau apa yang telah ditawarkan Tuhanku malam tadi kepadaku?” Kami berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Rasulullah s.a.w. berkata, “Allah menawarkan kepadaku sama ada memasukkan sesetengah umatku ke dalam syurga, atau memberiku syafaat. Aku lalu memilih syafaat.”
Kami lalu berkata, “Wahai Rasulullah, mintakanlah kepada Allah agar menjadikan kami termasuk dalam golongan ahli syafaatmu.”
Baginda menjawab: “Syafaat ini untuk semua Muslim.”
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah ini sengaja saya pilih untuk membuka perbincangan kita tentang syafaat Rasulullah s.a.w., kerana isinya melahirkan kegembiraan di hati setiap orang yang membacanya.

Makna Syafaat

Secara bahasa, syafaat berasal daripada kata al-syaf’u, maknanya “genap” (lawannya ganjil). Syafaat dengan demikian mengandungi makna “menggenapkan” sesuatu, yakni membantu pihak lain melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan dengan dirinya sendiri. Ibn al-Manzur dalam Lisan al-Arab berkata, “Syafaat ialah perkataan seseorang kepada raja untuk meminta hajat bagi orang lain.”
Sewaktu kita berbicara pada Hari Pembalasan, maka yang menjadi Raja pada hari itu adalah Allah s.w.t. yang menampilkan diri-Nya sebagai penentu nasib setiap makhluk. Pada hari itu, “Tiada siapa yang dapat memberi syafaat di sisi Allah melainkan dengan izin-Nya.” (Surah al-Baqarah 2: 255). Maka hanya hamba-hamba yang sangat dekat kepada Allah sahaja yang memperoleh kehormatan untuk membantu orang lain.
Keyakinan dengan adanya syafaat ini merupakan aqidah yang menjadi pegangan Ahli Sunah waljamaah. Berkata al-Qadhi Iyad al-Maliki sebagaimana nukilan Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, “Berbagai athar (hadis) yang keseluruhannya mencapai darjat mutawatir menunjukkan adanya syafaat bagi orang yang berdosa di akhirat, dan ini menjadi perkara yang telah menjadi ijmak di kalangan ulama Ahli Sunah Waljamaah sejak generasi salaf dan khalaf hingga hari ini.”
Al-Qadhi Iyad juga menjelaskan bahawa sekelompok manusia daripada puak Muktazilah dan Khawarij menolak adanya syafaat ini. Mereka berhujah dengan beberapa ayat al-Quran yang kesemuanya jika diperhatikan dengan teliti, berkaitan dengan orang kafir. Maka ayat ini tidak boleh dikenakan bagi orang beriman yang melakukan dosa lalu dimasukkan ke neraka. Hal ini kerana terdapat hadis-hadis Nabi yang mutawatir menjelaskan bahawa syafaat dapat menyelamatkan mereka dengan izin Allah s.w.t.
Lagi pula, kalau kita renungi secara mendalam syafaat ini sebenarnya tidak lain merupakan salah satu perwujudan daripada sifat rahmat Allah s.w.t. kepada seluruh hamba-hamba-Nya. Rahmat ini diperlihatkan melalui hamba-hamba pilihan-Nya untuk menampilkan kelebihan mereka kepada semua manusia yang lain.

Syafaat Terbesar
Antara hamba-hamba pilihan itu ialah Baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. satu-satunya hamba Allah yang memiliki al-Maqam al-Mahmud (Maqam yang Terpuji). Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku telah diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumku, salah satunya aku diberikan syafaat.”
Hadis ini tidak bermakna bahawa syafaat hanya dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. sahaja, dan tidak dimiliki oleh nabi-nabi lain. Namun apa yang ingin kita bicarakan kali ini ialah tentang sebuah syafaat khas yang eksklusif dimiliki Rasul Akhir Zaman, iaitu apa yang dikenal dalam ilmu aqidah sebagai al-Syafaatul ‘Uzma (Syafaat Terbesar).
Begitu luas dan besarnya syafaat ini, hingga ianya meliputi semua makhluk. Walaupun bukan berasal daripada umat Baginda, iaitu syafaat yang melepaskan semua ahli mahsyar yang telah penat kerana seksaan zahir dan batin sekian lama untuk menunggu proses hisab dilaksanakan. Perkara ini bersesuaian dengan sifat Baginda yang diutus Allah s.w.t. sebagai rahmat bagi sekalian alam, juga dengan syariat Baginda yang meliputi seluruh manusia.
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a., “pada hari kebangkitan, semua umat manusia berlutut, setiap umat akan mengikuti seorang nabi dan berkata kepadanya, “Wahai polan, tolonglah kami.” Nabi itu terus menolak, hingga mereka mendatangi Rasulullah s.a.w. Maka pada saat itulah, Allah menempatkan Baginda di al-Maqam al-Mahmud (maqam yang Terpuji).”
Abu Hurairah dan Anas bin Malik meriwayatkan hadis ini dengan lebih terperinci sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Ringkasnya, semua manusia pertama kali mendatangi Nabi Adam, lalu Nabi Ibrahim, lalu Nabi Musa hingga ke Nabi Isa a.s. Namun kesemua nabi-nabi ini tidak berani meminta kepada Allah s.w.t untuk memulai hisab. Semua manusia kemudiannya akan menemui Nabi Muhammad s.a.w. Baginda segera bersujud di bawah Arasy sambil memuji Allah dengan berbagai pujian yang Allah ilhamkan kepadanya.
Beberapa lama kemudian, Allah berfirman kepada kekasihnya ini yang antaranya bermaksud: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu. Mintalah, maka engkau akan diberi. Dan berikanlah syafaat, maka syafaatmu akan diterima.” Pada saat itulah, Rasulullah meminta agar Allah memulai hisab untuk umatnya. Allah, Raja Hari Pembalasan segera mengabulkan permintaan tersebut.

Syafaat untuk Ahli Neraka

Demikianlah Syafaat Terbesar yang hanya dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Namun selain syafaat ini, Baginda terus diizinkan untuk memberikan syafaat bagi menolong setiap umatnya yang memerlukan bantuan. Di dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik, Baginda bersabda yang bermaksud: “Setiap Nabi memiliki doa yang pasti Allah kabulkan, dan aku menyimpan doa tersebut sebagai syafaat bagi umatku di akhirat nanti.”
Syafaat ini diperlukan kerana Rasulullah s.a.w. memiliki bilangan umat yang paling ramai dibandingkan nabi-nabi yang lain, dan tidak semua orang daripada umat Baginda yang mencapai kesempurnaan amal. Ramai antara mereka yang terjatuh ke dalam lembah maksiat terutamanya kerana mengikuti dorongan hawa nafsu.
Imam al-Hakim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku melihat apa yang dilakukan umatku setelahku, mereka menumpahkan darah saudara mereka sendiri. Aku berasa sedih melihat hal itu, namun itu telah menjadi ketentuan Allah sebagaimana yang terjadi pada umat-umat lainnya. Aku lalu meminta kepada Allah agar diizinkan memberi syafaat bagi mereka pada hari kiamat, Allah lalu mengizinkannya.”
Baginda terus meminta kepada Allah untuk mengeluarkan setiap orang daripada umatnya yang berada di neraka sehingga tidak seorang pun yang tertinggal di tempat itu. Allah mengabulkan syafaat Rasulullah sebagai perwujudan janji-Nya yang maha benar, “Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu sehingga kamu menjadi puas.” (Surah al-Duha 93: 5)
Al-Qadhi Iyadh menyebutkan beberapa bentuk syafaat yang Nabi s.a.w. berikan kepada umatnya. Antara lain, memasukkan sebahagian umatnya ke dalam syurga tanpa hisab, mengangkat darjat sebahagian yang lain, menyelamatkan mereka dari neraka bagi orang yang telah diputuskan masuk ke dalamnya, juga mengeluarkan sebahagian yang lain dari neraka setelah mereka memasukinya.
Semua syafaat Rasulullah yang berbagai bentuk itu akan memberi manfaat kepada semua umat Baginda tanpa terkecuali. Umat Baginda ialah setiap orang yang pernah mengucapkan kalimat syahadat dengan ikhlas kerana Allah s.w.t.
Dalam Sahih al-Bukhari, Abu Hurairah bertanya Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaatmu?” Mendengar soalan itu Baginda menjawab, “Aku sudah mengagakkan bahawa engkau akan menjadi orang pertama yang bertanya tentang perkara ini, kerana kecintaanmu kepada hadis-hadisku. Sesungguhnya manusia yang paling berbahagia dengan syafaatku pada hari kiamat nanti ialah orang yang pernah mengucapkan syahadat ‘tidak ada tuhan selain Allah’ dengan ikhlas daripada dasar hatinya.”
Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik yang bertanya kepada Nabi s.a.w., “Di manakah aku harus mencari tuan nanti untuk meminta syafaat?” Baginda menjawab, “Carilah aku di titian sirat.” Anas bertanya lagi, “Kalau aku tidak menemukan tuan di titian sirat?” Baginda menjawab, “Carilah aku di tempat penimbangan amal.” Anas bertanya lagi, “Kalau aku tidak menemukan tuan di sana?” Rasulullah s.a.w. berkata, “Carilah aku di telaga, sesungguhnya aku pasti hadir di salah satu daripada ketiga-tiga tempat ini.” Jelas di sini, Rasulullah akan selalu hadir di tempat-tempat yang sangat memerlukan di sepanjang proses hisab.

Wasilah

Setelah mengetahui hakikat ini, selayaknya bagi setiap Muslim yang berasa diri banyak dosa, ia selalu mengharapkan bantuan dan syafaat Rasulullah s.a.w. Dan itu dapat diusahakan dengan memperbanyakkan amalan sunah yang menjadikan kita layak mendapatkan syafaat Baginda. Siapa yang selalu melanggar sunah, semakin jauh ia daripada syafaat Nabi di akhirat.
Dalam Sahih Muslim menyebut hadis daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika kamu mendengar seruan muazin, maka ucapkanlah seperti ucapannya, lalu kamu berselawat kepadaku. Maka sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali. Kemudian mintakanlah wasilah untukku, sesungguhnya demikian itu adalah sebuah tempat di syurga yang tidak patut didiami melainkan seseorang hamba Allah sahaja, dan aku berharap akulah orangnya. Barang siapa yang memintakan wasilah untukku, maka ia pasti mendapatkan syafaatku.”

------------------------------------------------------------------------------
Petikan daripada Majalah Solusi tulisan Us Umar
*Jika berminat mendapatkan Majalah Solusi boleh dapatkan secara 'ONLINE' di e-Store Stormreaders atau email di spektrumilmu@gmail.com untuk sebarang pertanyaan.*

Thursday, June 3, 2010

Lagi Cubaan Menipu


Ini bukan kes baru,dah selalu sangat kita dengar orang kena tipu dengan dengan email sebegini.Tapi yang peliknya,walaupun selalu berita-berita ini keluar surat-khabar,masih ramai juga yang terjebak.

Pagi tadi buka jer email,aku dapat 2 email sebegini.Dia ingat aku nak percaya ker?Yang menjadi lebih kelakar tu,bila masa pula 'Maybank' dapat tau alamat email aku.Takkan masa isi borang bukak akaun?Aku pakai alamat email nie baru 2 tahun,tapi aku dah ada akaun Maybank sejak 13 tahun dulu tau tak!!Kantoi..

Siapalah punya kerja nie.Senang-senang jer nak ambil duit orang.Halal haram tak perlu ceritalah.Orang-orang sebegini sebenarnya mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain.Mungkin pada andain mereka dalam 100 email yang di hantar,1 sangkut pun dah cukup baik.Balik modal!!.Balik modal kerana semangnya tiada modal yang dikeluarkan!!.

Kepada mereka-meraka ini,berhentilah buat benda-benda tak berfaedah sebegini.Taktik hantar email untuk 'rampas' kata laluan orang macam nie dah klise sangatlah.Kalau betul tak ada kerja,buat resume pastu cari kerja kat Jobstreet ker,Mudah.com ker,SPA pun boleh.Banyak kerja menanti.Bukan sahaja rezeki itu lebih berkat,malah hidup korang pun lebih aman sebab tak kena sumpah seranah.

Tuesday, June 1, 2010

Kesilapan Pada Papan Tanda II

Merujuk pada entry aku yang lepas bertajuk Kesilapan Pada Papan Tanda,kali ini aku berjaya mengumpulkan lagi koleksi-koleksi gambar kesilapan yang berlaku padan tanda (sign-board) untuk tatapan dan panduan buat semua.

Mari kita saksikan..















LinkWithin

Related Posts with Thumbnails