Advertising Space For Rent

Thursday, April 15, 2010

Hotel di Makkah Bangunan Ke-2 Tertinggi Dengan Jam Terbesar Dunia

DUBAI: Sebuah kompleks hotel gergasi yang sedang dalam pembinaan di Makkah bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia dan di atasnya akan dibina sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben London.

Pengurus besar hotel itu, Encik Mohammed al-Arkubi, pada sidang media di sini kelmarin berkata kompleks tujuh menara hotel yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bait itu akan mengandungi 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidil Haram.

Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang sekitar 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa, yang mencecah 828 meter.

Menara Jam Diraja Makkah akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi simbol bulan sabit.

Malah, struktur konkrit Menara Jam Diraja Makkah itu lebih tinggi daripada bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa ini iaitu Taipei 101 di Taiwan, yang setinggi 508 meter.

'Fasa pertama hotel akan dibuka pada akhir Jun ini, manakala jam itu akan mula beroperasi pada akhir Julai iaitu menjelang Ramadan, yang dijangka bermula sekitar 10 Ogos,' kata Encik Arkubi.

Jam buatan Jerman itu, digambarkan sebagai 'yang terbesar di dunia', mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara, katanya.

Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang.

Kompleks itu dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Saudi.

Ia bakal dikendalikan oleh Fairmont Hotels and Resorts, sementara pendapatan yang diraih bakal diwakafkan, khusus untuk pembangunan dan pengendalian tapak suci Islam, kata Encik Arkubi. -- AFP.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails